Followers

Monday, September 19, 2011

MFA: Platform Untuk Usahawan Tempatan

SIAPAKAH MFA dan apakah peranannya kepada industri francais Malaysia?
Persatuan Francais Malaysia (MFA) ditubuhkan sejak 1994 bersandarkan empat objektif iaitu menggalakkan amalan perniagaan francais beretika, mendukung usaha kerajaan menggalakkan penyertaan usahawan tempatan secara langsung dalam perniagaan francais, menyelaras infrastruktur bagi pembangunan francais di peringkat tempatan, serantau dan antarabangsa serta menyatukan pemain industri ini untuk menjaga kepentingan mereka. 
Antara peranan MFA ialah menetap dan menguatkuasakan satu etika amalan perniagaan secara profesional ahlinya seramai 601 terdiri daripada francaisor, francaisi induk, francaisi dan institusi sokongan serta bakal francaisor/francais.
Selain itu MFA turut menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D), menyelaras dan melaksanakan program latihan dan seminar selain bertindak selaku penyimpan maklumat induk mengenai aktiviti francais di dalam atau luar negara.
Selama 17 tahun ini kita sudah berjaya dan membangun serta membantu usahawan francais dengan membawa kira-kira 39 produk tempatan ke persada antarabangsa.



Apakah cabaran MFA? 
Cabaran kita adalah untuk mewujudkan kesedaran. Kita kena turun ke bawah dan bekerja kuat untuk pergi ke setiap daerah dan beritahu orang ramai apa itu francais. Saya tidak nafikan ramai yang tidak tahu francais itu apa. Mereka ingat francais adalah makanan segera seperti Kentucky Fried Chicken (KFC) atau McDonalds sedangkan francais itu sebenarnya apa juga produk atau perkhidmatan yang boleh diniagakan, lantas berkongsi keuntungan dengan peniaga. 
Segmen francais ini terbahagi kepada tiga seperti pertama adalah tanda nama. Contohnya Mydin, ia bukan produk tetapi jenamanya difrancaiskan, manakala produk seperti Marry Brown yang mempunyai pelbagai jenis makanan, atau perniagaan berbentuk dokumentasi seperti Wasiyyah Shoppe yang menguruskan harta pusaka, produknya tidak nampak kerana menggunakan dokumentasi saja. 

Bagaimanakah pula dengan pembabitan Bumiputra dalam bidang ini? 
Perniagaan dikendalikan Bumiputra banyak namun mereka kurang pendedahan. Kita perlu pergi ke kampung dan dedahkan kepada mereka tentang peluang perniagaan dalam francais. Tiada gunanya melakukan promosi mahal dan kos tinggi sekadar gah namun hasil yang pasti tiada. 
Sebagai contoh di kawasan rumah pangsa, kita boleh wujudkan satu perniagaan runcit francais yang kita bangunkan sendiri atau yang ditubuhkan melalui koperasi. Potensinya di kawasan itu luas kerana selain mempunyai penduduk yang ramai, kuasa membeli juga sangat tinggi dan mampu menyumbang kepada perniagaan francais yang ditubuhkan itu.
Apakah potensi syarikat Bumiputra untuk mengembangkan perniagaan francais? 
Industri ini mendapat sokongan penuh kerajaan melalui pelbagai program dan skim seperti Skim Pembiayaan Francais (SPF) iaitu melalui skim ini usahawan boleh mendapat pembayaran menerusi institusi kewangan yang mengambil bahagian antaranya ialah Maybank dan CIMB. 
Selain itu terdapat juga Dana Bantuan Pembangunan Francais yang bertujuan meringankan beban usahawan, menjadi insentif dan galakan bagi memfrancaiskan produk dan perniagaan tempatan serta luar negara. Kerajaan tidak memberi bantuan secara penuh kerana pengusaha perlu mengeluarkan modal sendiri bagi memfrancaiskan perniagaan. 
Kita akan membimbing secara penuh dari peringkat awal sehinggalah ke pembukaan cawangan prototaip dengan kos bayaran perundingan dibiayai sepenuhnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

No comments:

Post a Comment